Minggu 11
Bukan Orang-Orang karya Hafizah Iszahanid
Mo, anak pendatang dari China yang lahir di Tanah Melayu, dibesarkan dengan kisah penderitaan bapanya di negara asal dan harapan untuk bahagia di negara baharu, iaitu Tanah Melayu dengan melalui sendiri suka duka sejarah perjalanan kenegaraan hasil perpaduan sesama bangsa.
Membesar dengan Midah, anak anggota polis yang juga tinggal di kem Cina, mereka terus bersaudara sehingga ke hari tua tetapi malangnya persahabatan ikhlas itu tidak dikongsi oleh anak mereka, Qi dan Zara yang terperangkap dengan ideologi perkauman yang kemudiannya terlajak kepada isu agama.
Novel yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ini, membawa isu yang dekat dengan dunia kewartawanan berlatarbelakangkan politik pasca-Reformasi yang boleh dianggap ibarat pintu empangan yang retak (meski tidak sepecah Indonesia) hingga mengubah jalur politik tanah air. Ia membawa kisah dua generasi - generasi awal yang membina negara ibarat membina empangan dan generasi masa kini yang mengalami perubahan sosio-politik dengan pertembungan masa lalu dikusutkan dengan gelombang baharu.
Saya menyukai novel ini kerana isu yang diketengahkan sangat kontemporari, tentang perhubungan kaum, politik perkauman, dunia kewartawanan alaf baru. Kisah persahabatan dan kemanusiaan yang merentas warna kulit sentiasa segar dan menarik untuk disorot.
评论
发表评论